MENU

Karnival Sihat Selangor 2015 telah diadakan pada 12 September 2015 (Sabtu) dan bertempat di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi yang telah dirasmikan oleh Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi. Karnival ini merupakan anjuran bersama Majlis Perbandaran Kajang, Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat dan Majlis Keselamatan Jalan Raya. Karnival ini mendapat penyertaan pameran dan promosi daripada agensi kerajaan, swasta, NGO dan syarikat serta Pejabat-pejabat ADUN Kajang, Dusun Tua, Balakong, Bangi, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Universiti Kebangsaan Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, HERPAR Malaysia, Bangi Fitness, Kagumas, Ibunda, PEBT, MES, MAKNA, Giant, TATA, Gardenia, Permanis Sandilands Sdn. Bhd. dan Pembinaan Sri Gunung. Pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, RELA, Penguatkuasa Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang turut membantu mengawal keselamatan sepanjang karnival ini.

Tujuan karnival ini diadakan ialah memberi kesedaran awam mengenai kepentingan amalan gaya hidup sihat dan cergas, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya denggi, membolehkan masyarakat menjalani pemeriksaan kesihatan percuma dan mempromosikan program bantuan Sihat Selangor kepada masyarakat setempat.

Acara utama karnival ialah senamrobik, larian santai, kayuhan jantungku, pemeriksaan kesihatan dan demo masakan sihat. Di samping itu, masih di dalam suasana kemerdekaan diadakan juga  Pertandingan Andaman Kemerdekaan, Pertandingan Pakaian Beragam Merdeka, Pertandingan Mewarna (5-12 tahun), Pertandingan Congkak, Batu Seremban, Pertandingan Dam Gergasi dan Selfie Merdeka.

Y.B. Puan Dr. Daroyah telah sudi untuk melepaskan peserta berbasikal yang disertai hampir 400 orang penunggang. Sejurus itu, acara larian santai dilepaskan oleh YB Adun Bangi Tn. Hj. Shafie B. Ngah di mana YB Exco turut bersama menyertai larian santai sejauh 1.1 km mengelilingi Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi. Setiba di garisan penamat YB bersama tetamu jemputan lain melawat gerai pameran dan promosi.

Acara seterusnya adalah menanam 4 anak pokok semaian oleh VIP sebagai simbolik kepada mencintai alam yang bersih dan sihat. Sepanjang karnival berjalan, artis baru Anis Anisa mendendangkan lagu baru beliau dan lagu patriotik. Acara juga turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan perbagai jenis hadiah seperti barangan elektrik, basikal, peralatan rumah dan lain-lain lagi. Turut diadakan juga adalah kaunter bergerak bayaran cukai taksiran (MPKj), cukai tanah (PDTHL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pihak yang turut serta dalam karnival ini ialah Tuan Haji Zul-Kefli @ Zulkefli Bin Khalid (Pegawai Daerah Tanah Hulu Langat), Tuan Mohd Sayuthi Bin Bakar (Yang DiPertua MPKj), Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi, YB Dr. Che Rosli Che Mat ( Ahli Parlimen Hulu Langat), Y.B Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail (Adun Kajang), Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah (Adun Bangi), En. Hamidi Bin Abu Hassan (Pusat Khidmat Komuniti Dun Semenyih), Ahli Majlis MPKj, Pengarah – Pengarah Jabatan, kakitangan MPKj serta penaja – penaja yang telah memberikan sumbangan sempena Karnival Sihat Selangor 2015.

Adalah diharapkan penganjuran karnival ini dapat membantu meningkatkan lagi pengetahuan orang awam betapa pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat yang berkualiti bersama keluarga tersayang. Tidak lupa juga diucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak secara langsung bagi menjayakan karnival ini.

karnivalsihat