MENU

Fiesta Wanita & Keluarga Semenyih 2017 telah berlangsung pada 24, 25 dan 26 Mac 2017 (Jumaat, Sabtu dan Ahad)  di Dataran Tesco Semenyih disambut meriah dengan pelbagai acara-acara menarik pengunjung di sekitar Kajang dan Semenyih. Penganjuran ini adalah Sempena Hari Wanita yang diraikan pada bulan Mac setiap tahun. Program ini dianjurkan oleh  Majlis Perbandaran Kajang  bersama Ahli Majlis MPKj Zon MPP 19, 15, 18, 17, 14 dan 16 dengan mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Selangor ,Pegawai Penyelaras Dun N24 Semenyih dan Ahli Parlimen Hulu Langat. 

Fiesta Wanita & Keluarga Semenyih ini juga turut mendapat kerjasama daripada usahawan-usahawan Uptown Semenyih , Car Boot Sale Persatuan Penduduk Taman Pelangi Semenyih, TESCO Semenyih , Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dun Kajang, Bangi, Balakong dan Dusun Tua . Tujuan program Sambutan Hari Wanita ini diadakan adalah sebagai  langkah pro-aktif berganding bahu dengan kaum lelaki agar dapat membentuk masyarakat madani yang ada jati diri  dan mampu mengharungi cabaran semasa. Selain itu, Majlis Perbandaran Kajang dan Kerajaan Negeri Selangor menyokong penglibatan wanita dalam program kemasyarakatan terutama sokongan kaum lelaki membantu wanita dari pelbagai aspek.

Matlamat dan visi Kerajaan Negeri Selangor mencapai kesaksamaan gender serta memberikan kesaksamaan hak dan peluang kepada wanita di semua peringkat bagi memupuk keadilan sosial dan keharmonian masyarakat majmuk di Selangor.

Pelbagai aktiviti program telah diadakan seperti pada hari Jumaat lepas diadakan aktiviti menarik anak-anak dan remaja dengan Tema Aisyah The Bookworm dengan Kerjasama PPAS Selangor, BookTruck Karangkraf serta Trak Buku 1Malaysia, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Bercerita Hikayat Rakyat, Pertandingan Rekacipta Barang Kitar Semula (3R), Bedah Buku (Ulasan Buku daripada Penulis) serta Bicara Keluarga. Program ini telah mendapat kerjasama penuh daripada Puan Norzanalila Bt Mohd Fadzil Ahli Majlis MPKJ Zon MPP 15.

Manakala hari kedua iaitu pada hari Sabtu pula, diadakan Program Saringan Sihat Selangor (3S) , Zumba dan Line Dance daripada PWB Balakong, Pertandingan Idea Kreatif Kotak Tisu, Saree Competition, Taklimat Kanser Serviks daripada KPJ Kajang, Taklimat Kenali Emas daripada Yapeim, Persembahan Flashmob  dan Tarian LED daripada para pelajar Mara Japan Industrial Institute (MJII) telah memukau para penonton , Persembahan Solo PDK Semenyih serta Sembang Santai Selebriti bersama Jaafar Onn dan Rohana Jalil pada sebelah malamnya. 

Manakala pada hari ketiga merupakan hari terakhir Fiesta Wanita & Keluarga Semenyih 2017, satu acara yang julung kali diadakan di Semenyih iaitu  Pertandingan Aerobikthon yang berlangsung selama 20 minit. Turut mewarnai fiesta tersebut, PWB Kajang mengadakan Bengkel Membuat Brooch Kain Felt. Fiesta Wanita & Keluarga Semenyih 2017 telah dirasmikan oleh Y.B Puan Dr Daroyah Bt Alwi, Exco Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor dan beliau telah bersama-sama dengan barisan Ahli-ahli Majlis MPKj dan Pembantu Khas Pegawai Penyelaras Dun Semenyih 2017 memotong pulut kuning dan menyampaikan hadiah kepada Pemenang Pertandingan Aerobikthon dan Pertandingan Mewarna Open dan Kanak-kanak OKU PDK Semenyih.

Sehubungan dengan ini, adalah diharapkan program wanita dan keluarga dapat diteruskan pada masa hadapan agar ikatan ukhuwah dan persaudaraan pelbagai bangsa , kaum dan umur dapat disatukan dalam satu kelompok masyarakat, yang Terunggul Di Malaysia, Hanya Di Selangor.

fiesta