MENU

Mini Karnival Ibu Tunggal 2016 pada 4 September 2016 (Ahad) telah berjaya menarik seramai 1000 pengunjung yang hadir untuk sesi taklimat dan temuduga pekerjaan di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Program bertema ‘Memperkasa Ekonomi Dan Kesejahteraan Sosial’ adalah  julung kali diadakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang serta daripada beberapa Kementerian, Jabatan, Agensi Kerajaan lain dan Persatuan yang mewakili Ibu Tunggal iaitu Persatuan Pekerja Wanita Malaysia (PERWANIS), Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan (PITKM), Persatuan Kebajikan Ibu Tunggal Islam Malaysia (PAKIT), Pertubuhan Kebajikan Inspirasi Global Malaysia (PRINGMAS), Persatuan Suri Kreatif Innovatif (SURI) dan Women Association of Development & Innovation (WADI).

Perasmian pembukaan Mini Karnival Ibu Tunggal 2016 disempurnakan oleh YBhg Dato’Mohd Sahar Bin Darusman Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia disaksikan oleh YBhg. Dr. Mohd Gazali Bin Abas Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) dan  YBrs Tuan Mohd Sayuthi Bin Bakar Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Puan Silam Hassan Presiden PERWANIS serta YB Tuan Mohd Shafie Bin Ngah, ADUN Bangi.

Selaras dengan Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal 2015-2020 yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  (KPWKM), Kementerian Sumber Manusia  (KSM) dilantik untuk menyediakan latihan kemahiran yang bersesuaian kepada ibu tunggal kerana mereka adalah penyumbang dan pemangkin tenaga kerja dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara dalam sektor pekerjaan.   Temuduga Pekerjaan kepada Ibu Tunggal dan Anak-anaknya dikendalikan oleh JobsMalaysia, Jabatan Tenaga Manusia  dengan laporan kasar jumlah kehadiran seramai 525 orang ; Lelaki : 85, Perempuan: 440. Berjaya mendapat tawaran pekerjaan seramai 109 orang. Pihak majikan telah menemuduga buat kali kedua dan seramai 185 telah berjaya.

Ibu Tunggal yang gagal mendapat pekerjaan diberi peluang untuk di temuduga di tempat majikan tersebut. Antara 15  majikan yang menyertai adalah Sushi Kin, Home Product Center (M) Sdn. Bhd (Homepro), Aegis BPO (Malaysia) Sdn. Bhd. (Aeon) , Mydin Mohamed Holdings Berhad, Jabatan Perangkaan Cawangan Kajang, Harta Maintenance Sdn. Bhd., Golden Archers Restaurant Sdn Bhd  (Mc Donalds) , Grand Companions , Mcat Box, Riang Ria Sdn Bhd @ Kidzania, Shazay Associates dan Digital Content Alliance Sdn Bhd  (e-rezeki) .

Taklimat teknikal bertajuk Prosedur Permohonan Lesen Perniagaan Dan Permit Gerai Jualan Jabatan Pelesenan Dan Penjaja  Majlis Perbandaran Kajang bagi pemahaman kepada ibu tunggal menjalankan perniagaan dalam kawasan PBT-MPKj . Taklimat daripada agensi lain seperti Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Jabatan Tenaga Manusia, Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) .

Mini Karnival Ibu Tunggal (IT) turut diserikan oleh Bicara Ikon Ibu Tunggal YBhg Dato’Hajah Faridah Bt Abd Jabar, Yang Dipertua Usahanita dan Bikers IT . Antara aktiviti yang menarik perhatian adalah gerai jualan daripada Usahawan Ibu Tunggal. Terdapat juga pameran DIY daripada NGO Kitar Semula yang dijemput oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPKj  iaitu  Pertubuhan Amal Seri Sinar (PASS), Community Recycle Charity  (CRC) dan Life Line Clothing. Adalah diharapkan semua agensi kerajaan, Pihak Berkuasa tempatan dan NGO  dapat mempromosi peranan dan tanggungjawab jabatan / agensi dalam membantu masyarakat termasuk Ibu Tunggal.

ibu_tunggal