MENU

Tarikh : 21 Jun 2020 (Ahad)
Masa : 8.00 pagi
Lokasi terlibat :
1) Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi (Penganjuran Pasar Tani)
2) Pekan Batu 11, Cheras (Penganjuran Pasar Pagi)
3) Pekan Semenyih

Laporan tindakan :

1. Menjalankan pemeriksaan pertama di tapak Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi. Penganjuran yang diuruskan FAMA melibatkan 14 peniaga. Berdasarkan pemerhatian di tapak, semua kawalan dan pematuhan SOP adalah memuaskan. Pihak FAMA mematuhi arahan pematuhan dari segi penggalakan pemakaian pelitup muka, penggunaan hand sanitizer, penjarakan antara peniaga dan kawalan penjarakan sosial antara pengunjung. Terdapat 4 anggota RELA digunakan untuk membantu mengawal keadaan. Namun, teguran diberikan kerana tiada lagi penggunaan aplikasi SELangkah di tapak. Pihak FAMA memaklumkan pihak mereka akan menyediakan perkara tersebut dan menggunakannya bagi penganjuran seterusnya. Kami juga menasihatkan agar pihak mereka sentiasa menambah baik kawalan sedia ada terutama bagi penganjuran akan datang yang akan melibatkan lebih ramai peniaga.

2. Seterusnya, kumpulan kami telah ke tapak Pasar Pagi Batu 11, Cheras. Keadaan di tapak adalah tidak terkawal. Penganjur dilihat tidak mampu mengawal beberapa perkara penting daripada SOP PKPP yang ditetapkan dan arahan Majlis. Antara kesalahan major yang telah dibuat adalah, pertama, tiada penggunaan aplikasi SELangkah di pintu masuk pasar. Kedua, pemantauan sambil lewa dari segi pergerakan orang awam yang masuk dan keluar sama ada dengan berjalan kaki mahupun dengan menaiki kenderaan. Ketiga, peniaga tidak menggantung lesen perniagaan mereka. Keempat, tiada penjarakan khemah diantara peniaga. Kelima, tiada kawalan penjarakan sosial pengunjung yang hadir. Lawatan tapak turut dihadiri oleh Encik Edward So yang merupakan Ahli Majlis kawasan. Teguran dan amaran diberikan agar perkara tersebut diberi perhatian serius kerana pembukaan hari pertama yang melibatkan 60 peniaga dilihat gagal dan berpotensi untuk mengakibatkan pasar pagi tersebut diarahkan tutup. Pihak penganjur diarahkan untuk menambah jumlah anggota RELA dan urusetia untuk mengawal keadaan serta mengelakkan perkara tersebut berulang pada hari Selasa akan datang. Jumlah peniaga juga dimaklumkan akan meningkat bagi penganjuran seterusnya. Kumpulan kami telah menasihatkan kembali berkaitan SOP PKPP dan arahan yang telah ditetapkan. Pihak penganjur berjanji akan menambah baik perkara tersebut pada penganjuran akan datang.

3. Selain itu, kumpulan kami turut membuat lawatan tapak bagi aduan berkaitan terdapat peniaga daripada penganjuran pasar pagi di luar bangunan Pasar Awam Semenyih yang berniaga di dalam perkarangan pasar awam. Lawatan mendapati terdapat 3 peniaga melibatkan 1 peniaga daging dan 2 peniaga barangan kering yang sepatutnya tidak lagi menjalankan perniagaan kerana penganjuran pasar pagi di luar bangunan pasar belum lagi diluluskan telah berada di lokasi. Nasihat diberikan agar tidak menjalankan perniagaan selagi tiada kebenaran bertulis daripada pihak MPKj. Lawatan turut melibatkan penganjur pasar pagi bagi mengenal pasti peniaga mereka. Pihak penganjur memaklumkan mereka akan membuat sesi penerangan kepada peniaga dan akan mempercepatkan permohonan pembukaan semula penganjuran pasar pagi berdasarkan SOP PKPP dan arahan yang telah ditetapkan.

pkpp pasar