MENU

Majlis Perbandaran Kajang dengan kerjasama Ahli Majlis MPKj Zon MPP 1, Encik Mohamad Jan Bin Sulong telah menganjurkan program Eksplorasi Remaja Ke Desa 2017 pada 4-5 November 2017 (Sabtu-Ahad) di Kingfisher Campsite, Kg. Sungai Semungkis Hulu Langat.  Seramai 99 peserta remaja berusia antara 12 tahun hingga 17 tahun telah menyertai program ini dari pelbagai Zon Majlis Perwakilan Penduduk (Zon MPP).

Tujuan program ini diadakan adalah penglibatan secara langsung pihak NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) dalam memperkasa peranan NGO dan agensi dalam pembangunan masyarakat termasuk golongan  remaja. Selain itu juga, melalui program ini dapat membentuk remaja berinteraksi positif dalam kumpulan dengan melibatkan diri secara fizikal di setiap aktiviti eksplorasi.

Pelbagai aktiviti dan pengisian program dirancang oleh pihak MPKj selama 2 hari seperti Taklimat Interakif Cabaran Gen Y oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Langat, Latihan Simulasi #sayangidirimu bersama PEMADAM Daerah Hulu Langat, Taklimat Pengenalan PeBT MPKj, Seni Pertahanan Diri Karate Do daripada Persatuan Karate Do Go Ju Kai Selangor  serta Seni Persilatan Gerak Wali. Turut diadakan acara Sukaneka Desa, Kuliah Kendiri & Motivasi oleh NGO IKRAM Cawangan Kajang, Senamrobik dan Muscle Art, Jungle Tracking, River Crossing dan Obstacle Sport bagi menyemarakkan sesi eksplorasi ini.

Remaja juga berpeluang membina keyakinan diri disamping mempelajari permainan tradisional desa seperti ‘Baling Selipar’, ‘Lompat Getah’, ‘Bowling Buah Kelapa’, ‘Tarian Zapin Rakyat’, ‘Teka-teki Desa’. Ternyata aktiviti-aktiviti yang diketengahkan oleh MPKj selaku penganjur program berjaya menarik minat remaja untuk meneruskan minat dan menjadikan aktiviti ini sebagai hobi semasa cuti persekolahan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Y.B. Tuan Haji Razaly Hassan, Ahli Dewan Negeri (ADUN) N23 Dusun Tua diiringi oleh Encik Mohamad Jan Bin Sulong, Ahli Majlis MPKj Zon MPP 1 bersama Tuan Haji Deris Bin Bidin, Ketua Kampung Bt 14, Hulu Langat. Program eksplorasi remaja ke desa ini menjadi aktiviti tahunan MPKj bagi memberi pendedahan aktiviti kemasyarakatan disamping beriadah secara sihat.

eksplorasi