MENU

Program LA21 iaitu Program Bumi Hijau Bersama Komuniti BIAA, Majlis Perbandaran Kajang telah dilaksanakan dengan jayanya pada 20hb. Ogos, 2016 (Sabtu) bertempat di Jalan P10/13 Seksyen 10, Bandar Baru Bangi. Program ini dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kajang dengan kerjasama Bangi Industry Administrative Association Bandar Baru Bangi. Program ini telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Zon 23 En. Husni Bin Abdul Manan bagi mewakili Yang Dipertua MPKj.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membersihkan hutan kecil di kawasan  ini kerana pihak BIAA berhasrat ingin menjadikan ia sebagai satu kawasan lapang yang boleh digunakan oleh pihak BIAA sebagai kawasan rekreasi komuniti dan taman warga kerja industri.  Pihak MPKj menyokong di atas usaha murni ini dan berharap pihak BIAA dapat menyelia dan mengelola kawasan ini mengikut garis panduan MPKj.

Bagi merealisasikan program, kerja pembersihan tapak secara major telah dilaksanakan lebih awal, manakala kerja-kerja gotong-royong bagi membersihkan sisa-sisa sampah telah dibuat secara bersama dengan  JKR, pelajar-pelajar UKM yang dibantu oleh Jabatan Landskap & Rekreasi, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam, Unit Perancangan Korporat & Perhubungan Awam dan tidak ketinggalan Jabatan Penguatkuasaan. Pihak JPAM dan BOMBA turut memberi kerjasama di peringkat awal bagi memastikan keselamatan persekitaran. Gotong-royong ini telah disertai seramai 200 orang. Sebelum itu 10 batang pokok telah ditanam sebagai simbolik menghargai bumi hijau.

Adalah diharapkan pihak BIAA dapat memainkan peranan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial secara berterusan agar faedah dari kawasan ini dapat dinikmati bersama. Program ini juga diharap akan dapat dijadikan sebagai contoh di kawasan perindustrian lain agar kawasan terbiar dimanfaatkan di samping menjaga keindahan kawasan sekitar.

bumi_hijau