MENU

Unit Integriti, MPKj telah menganjurkan Program Integriti bertajuk “Warga Kerja Berintegriti Mencorak Kecemerlangan Organisasi” pada 26 Ogos 2022 secara bersemuka yang disampaikan oleh Puan Zarina bt. Mohamad, Penolong Pengarah Kanan Seksyen Advokasi dan Libat Urus (SALU), Institut Integriti Malaysia di Teater Mini Cempaka Tingkat 6, Menara MPKj dihadiri oleh warga kerja MPKj.

Unit Integriti telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program Integriti bertemakan bulan kemerdekaan bagi menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 2022.  Keutuhan semangat kemerdekaan sesebuah organisasi mahupun negara bergantung kepada nilai integriti yang ada pada individu dalam organisasi dan masyarakat. Integriti dinisbahkan sebagai sikap jujur, amanah, kebertanggungjawaban dan amalan moral yang tinggi dalam diri seseorang individu. Nilai integriti bermula dari dalam diri individu menerusi niat, kemudian diterjemahkan kepada sikap dan kelakuan. Penceramah juga menyatakan bahawa dengan memupuk semangat rasa cinta kepada negara dan nilai-nilai patriotisme serta mengutamakan aspek iman dan moral dalam diri penjawat awam mampu membendung masalah pelanggaran integriti dalam sesebuah organisasi. Sehubungan dengan itu, semua warga kerja MPKj diseru agar memahami serta mengamalkan aspek integriti dalam mewujudkan organisasi yang cemerlang. Program Integriti di akhiri dengan nyanyian lagu patriotik “Jalur Gemilang” serta sesi bergambar bersama penceramah jemputan.