MENU

GOMBAK - YBrs. Tuan Nazli bin Md Taib, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) hadir ke Majlis Pengisytiharan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai Geopark Kebangsaan Pertama Negeri Selangor yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor pada 16 November 2024 di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Gombak, Selangor

YAB Dato' Seri Amirudin bin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor, YB Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Dato' Setia Haji Haris bin Kasim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato' Ng Suee Lim, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, YB Puan Jamaliah binti Jamaluddin, Exco Kesihatan Awan dan Alam Sekitar, Orang Besar Daerah (OBD), pegawai-pegawai kanan kerajaan, dif-dif kehormat dan penduduk Daerah Gombak serta Hulu Langat turut hadir dalam majlis yang amat membanggakan seluruh rakyat negeri Selangor Darul Ehsan.

Gombak Hulu Langat Geopark menampilkan 31 geotapak dan 20 daripadanya telah diiktiraf sebagai kawasan pelancongan eko dan geo, dengan landskap semula jadi dan geologi Selangor yang masih kekal terpelihara.

Tourism Selangor merupakan peneraju Gombak Hulu Langat Geopark dan disokong oleh beberapa rakan kerajaan dan komuniti setempat, PLAN Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang. Usaha ini menggariskan komitmen negeri untuk memupuk sektor pelancongan yang mampan serta penglibatan komuniti tempatan dalam melindungi landskap semula jadi.

Pengiktirafan Global UNESCO Geopark pada tahun 2028 menjadi aspirasi kepada reka bentuk Gombak-Hulu Langat Geopark untuk memenuhi piawaian antarabangsa dengan memelihara landskap semula jadi kawasan tersebut. Projek ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Matlamat ke-15 (Kehidupan di Darat) dan Matlamat ke-8 (Pekerjaan yang sesuai dan Pertumbuhan Ekonomi) dengan menggalakkan pelancongan bertanggungjawab yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan menyokong pemuliharaan biodiversiti.

Yang Dipertua MPKj menyatakan dengan membina infrastruktur yang menyokong pelancongan eko dan geo, kami berhasrat untuk mewujudkan sektor yang berkembang maju serta mengutamakan pertumbuhan mampan. Pelan pembangunan kami termasuk kerjasama dengan pemimpin masyarakat dan perniagaan tempatan seperti Perusahaan Kasih Hulu Langat dan APA Attitude Planet Art untuk memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada masyarakat daripada artis hingga pemandu pelancong. Ini adalah usaha transformatif yang memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dan alam sekitar.

Pelbagai reruai agensi kerajaan disediakan di samping aktiviti seperti mewarna, senamrobik, memanjat dinding batu dan pokok serta banyak lagi menjadi peluang kepada pengunjung yang hadir. Usaha ini juga sebagai satu tarikan pelancong dan promosi Tahun Melawat Selangor 2025.

geopark