MENU

 

Unit Integriti, MPKj telah menganjurkan Program Integriti bertajuk “Susun Perbelanjaan, Kawal Kesan Inflasi” dengan kerjasama pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) secara bersemuka pada 22 September 2022. Penceramah jemputan adalah Puan Noor Hidayah binti Shafiee, Pegawai Kanan, Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran, Bahagian Pengurusan Saluran, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersama dua orang fasilitator daripada AKPK di Teater Mini Cempaka, Tingkat 6, Menara MPKj yang dihadiri oleh warga kerja MPKj.

Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kesedaran dalam merancang pengurusan kewangan yang efisen, meningkatkan kesejahteraan ekonomi individu, serta memahami risiko dalam menguruskan perbelanjaan. Kakitangan juga diingatkan supaya sentiasa menganalisa prestasi perbelanjaan semasa dan mengelakkan diri daripada tergolong dalam individu yang mempunyai keberhutangan serius sehingga menjejaskan integriti dan prestasi di tempat kerja.

Melalui sesi program ini, penceramah telah berkongsi mengenai strategi pengurusan aliran tunai dengan bijak berdasarkan pendapatan aktif dan pasif. Beliau juga turut berkongsi pengalaman beliau dalam mengendalikan kes-kes pelanggan dalam pengurusan kredit bagi membebaskan diri dari belenggu hutang.

Selain itu juga, penceramah turut menerangkan mengenai fungsi AKPK dalam membantu menyediakan khidmat nasihat dan menganalisis kewangan individu mengikut pelan pembayaran semula pinjaman yang lebih teratur disamping membantu menyelamatkan individu daripada diisyitihar muflis. Pada hari tersebut pihak AKPK juga menyediakan kaunter semakan dan cetakan laporan Cental Credit Reference Information System (CCRIS). Program tersebut di akhiri dengan sesi soal jawab yang mendapat sambutan daripada peserta program.