MENU

Beraya Open House MPKj@Kajang tahun 2022 sangat bermakna dan meriah dihadiri orang awam yang berkesempatan meluangkan masa hadir meraikan rumah terbuka MPKj. Tuan Haji Najmuddin Bin Jemain Yang Dipertua bersama Pengurusan Tertinggi MPKj merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan agensi peringkat negeri Selangor dan daerah MPKj, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri kawasan MPKj, Ahli-Ahli Majlis serta Yang Dipertua PBT-PBT negeri Selangor serta Pegawai Daerah negeri Selangor, wakil syarikat pemaju dan industri serta para pemegang taruh pentadbiran Majlis.

Aneka juadah raya disajikan terutama Sate Kajang yang menjadi pilihan dan kegemaran pengunjung di Open House MPKj@Kajang. Gerai-Gerai Tradisi Menu Raya pula dibuka yang diwakili Jabatan dalaman MPKj seperti Kambing Bakar, Set Lemang Ketupat beserta Rendang, Mee dan Kue Teow Goreng Panas, Cendol, Nasi Tomato Ayam Masak Merah, Apam Balik Crunchy,Aiskrim Potong Klasik serta Puri dan Vadai dihidangkan kepada tetamu orang awam memenuhi citarasa pelbagai bangsa. Gerai Tercantik dan Juadah Raya Menarik dimenangi oleh Jabatan Landskap dan Rekreasi. Syabas dan tahniah diucapkan kepada jabatan terlibat.

Semestinya keriangan dan senyuman terukir apabila persembahan kumpulan nyanyian dari Jabatan-Jabatan MPKj menggamatkan suasana dengan kemenangan persembahan terbaik 5 Jabatan Utama iaitu; Jabatan Perbendaharaan, Khidmat Pengurusan, Landskap dan Rekreasi, Pembangunan Masyarakat serta Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan. Kejutan juga diumumkan bagi acara pakaian tercantik dimenangi oleh Encik Low Kar Yong dan Puan Noraziah Bt Abd Rashid. Acara meneka jumlah ketupat menjadi acara penutup yang meriah hari ini. Semua yang menang menerima hamper serta wang tunai daripada Tuan Yang Dipertua MPKj.

Sekalung penghargaan dan terima kasih semua yang hadir meraikan sambutan Majlis Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Kajang tahun 2022 dengan kehadiran tetamu diluar jangkaan melebihi 2,000 orang. Tidak lupa kepada jawatankuasa penganjur yang bertungkus -lumus menyiapkan khemah jamuan dan sambutan. Semoga Majlis Rumah Terbuka anjuran MPKj sempena Sambutan Jubli Perak menjadi pembuka tirai acara mesra rakyat yang akan diadakan dengan lebih kerap dilaksanakan di semua peringkat MPP Ahli Majlis MPKj supaya hubungan kekeluargaan sesama masyarakat terbina lebih kukuh, hidup harmoni dan kemakmuran dinikmati bersama.