MENU

 

ydp nazli

"Ke Arah Bandaraya Berdaya Huni Menjana Ekonomi Negara"

Saya mengucapkan selamat datang ke Laman Sesawang Rasmi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Kewujudan laman sesawang ini memberi ruang kepada MPKj untuk memperkenalkan diri secara lebih dekat kepada pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada pemegang taruh, orang awam, pihak swasta dan agensi-agensi kerajaan.

Dalam usaha Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjadikan Kajang sebuah bandarraya “Berdaya Huni Menjana Ekonomi”, satu perancangan pembangunan mampan untuk tempoh jangka masa panjang telah disediakan bagi menjadi sebuah bandar raya yang inklusif, terhubung, kolaboratif, sihat, dinamik, berteknologi digital dan menjadi bandar raya berdaya tahan serta berdaya huni yang berkebolehan menguruskan kemampanannya dalam mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi. Pengurusan bandar raya juga akan tertumpu kepada pembangunan yang terancang dan tersusun mengimbangi antara kawasan komersial, industri dan kediaman.

Selain itu, pelbagai usaha dijalankan seperti meningkatkan lagi inisiatif keusahawanan, menyusun semula tenaga kerja MPKj menuju digitalisasi dan memperkasakan sektor pelancongan di kawasan MPKj. Usaha-usaha ini menunjukkan peranan MPKj mendokong serta sentiasa menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam memulihkan atau meningkatkan kehidupan rakyat setempat.

MPKj juga berharap agar laman sesawang ini dapat menjadi sumber maklumat yang praktikal dan berguna kepada masyarakat dan memudahkan lagi pelanggan berurusan dengan MPKj. Semoga dengan adanya kemudahan ini dapat menjadi mekanisme penghubung kepada pihak pengurusan dan pelanggan dalam menyampaikan dan menerima maklumat.

Akhir kata, bagi memastikan MPKj akan terus memberikan perkhidmatan yang sebaik-baiknya, saya berharap pengunjung-pengunjung yang melayari laman sesawang MPKj dapat memberikan cadangan dan pandangan yang membina. Harapan saya agar MPKj terus memberikan perkhidmatan yang efisien dan efektif.

Kajang Bandar Untuk Didiami. Kita Selangor Maju Bersama.

Sekian, terima kasih.

(NAZLI BIN MD TAIB S.M.S)
Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kajang