MENU

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T laman sesawang Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ini menjadi salah satu medium penyampaian maklumat yang berkesan tentang perkhidmatan yang ditawarkan, aktiviti-aktiviti, pengumuman semasa serta laporan dan berita perkembangan MPKj.

Selaras dengan hasrat merealisasikan Dasar Digital Negara dan Bandar Pintar dalam menjadikan Pihak Berkuasa Tempatan yang berdaya saing serta maju melalui penggunaan aplikasi teknologi, MPKj sentiasa menambah bilangan jenis perkhidmatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan secara dalam talian seperti e-Taksiran, e-Bayar, e-Dewan, e-Aduan, e-OKU dan yang seumpamanya. Saya amat berharap ini akan dapat mempertingkat mutu perkhidmatan ke tahap lebih baik sesuai dengan hasrat MPKj menuju ke arah sebuah perbandaran berstatus bandar raya.

Bagi tujuan menjadikan MPKj sebagai sebuah Bandaraya, Pelan Strategik MPKj 2021-2025 telah menggariskan Visi iaitu ‘Bandaraya Berdaya Huni, Menjana Ekonomi Negara’ dengan Misi ‘Pembangunan Seimbang Yang Menekankan Konsep Daya Huni Serta Kehidupan Lestari Penjanaan Ekonomi Setempat Ke Arah Bandaraya Sejahtera’ serta Moto ‘Perbandaran Harmoni Memberdaya Ekonomi Mampan’.

Ketika ini, MPKj sedang merancang untuk memperkasakan lagi fungsi Badan Pengurusan Bersama (JMB) di bawah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) bagi menyelia pengurusan dan penyenggaraan komuniti strata yang semakin bertambah di dalam kawasan pentadbiran MPKj. Pertambahan komuniti strata dalam pentadbiran MPKj menjadi cabaran besar yang memerlukan pendekatan yang holistik dan menyeluruh untuk menjamin kehidupan yang sentiasa berkualiti.

Sehubungan dengan itu, pendekatan menyeluruh atau “holistic approach” dengan penerapan pengetahuan bagi menyemai sikap keprihatinan setiap lapisan masyarakat amat penting dalam menjadikan kawasan pentadbiran MPKj sentiasa bersih, selamat dan progresif. Penggunaan teknologi bagi mendapatkan perkhidmatan dari pihak MPKj serta penyertaan masyarakat dalam setiap program anjuran MPKj amat diharapkan dan adalah amat dihargai.

Akhir kata, besarlah harapan agar laman sesawang ini akan terus menjadi medium utama pengunjung bagi mendapatkan pelbagai maklumat dan perkhidmatan yang didambakan. Sebarang cadangan penambahbaikan serta maklum balas amat saya alu-alukan. Saya mengambil peluang ini untuk menyeru semua pihak yang berminat dan mempunyai visi dan misi bagi merealisasikan Kajang sebagai sebuah Bandaraya supaya dapat turut serta menyumbang idea melalui e-mel korporat [at] mpkj [dot] gov [dot] my

Pada masa sama saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh atau para stakeholders yang telah, sedang dan akan memberikan kerjasama dan keterlibatan dalam menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan MPKj. Saya amat mengharapkan warga kerja MPKj sentiasa bersemangat memberikan perkhidmatan yang terbaik, penuh integriti dan berdedikasi bagi memacu kecemerlangan MPKj untuk tahun semasa dan tahun-tahun yang akan datang.

 

YBHG TUAN HAJI NAJMUDDIN BIN JEMAIN SMS
Yang DiPertua
Majlis Perbandaran Kajang

Kemaskini Terakhir: Selasa, 21 September 2021 - 4:35pm