MENU

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah ditubuhkan secara rasminya pada 1hb. Januari  1997. Sebelum dinaiktaraf Perbandaran, MPKj dikenali sebagai Majlis Daerah Hulu Langat yang mana ianya telah beroperasi sejak  1hb. Januari  1986 di bawah Akta  171,  Akta Kerajaan Tempatan 1976.  Kawasan pentadbirannya meliputi Mukim Kajang, Mukim Cheras, Mukim Semenyih , Mukim Beranang & Mukim Hulu Langat.

Rasionalnya, penubuhan MPKj adalah sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang dinamik di mana dapat merancang dan membangunkan kawasan Kajang secara pesat & teratur. Ia berikutan pertambahan penduduk di Mukim Kajang yang semakin pesat dari tahun ke tahun. Selain itu penubuhan MPKj  bersesuaian kerana semakin banyak pembukaan kawasan-kawasan perumahan & pembangunan projek mega di sekitar kawasan pentadbiran MPKj. 

Majlis Perbandaran Kajang kini mempunyai beberapa rangkaian pejabat-pejabat kecil / pejabat cawangan iaitu di Bandar Tun Hussein Onn Cheras dan Hentian Kajang Jalan Reko. Keluasan kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang  adalah seluas  78,761 hektar (787.61 km persegi).

Majlis Perbandaran Kajang sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sentiasa berusaha mensejahterakan hubungan dengan Kerajaan Pusat & Kerajaan Negeri. Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan adalah pemegang berkepentingan  yang menyusun dasar-dasar yang merangkumi pelbagai aspek perancangan, pembangunan dan pengurusan untuk digunapakai oleh PBT seluruh negara termasuk MPKj.

MPKj dan Bandar Kajang memiliki beberapa keunikan serta faktor pembeza. Sate Kajang adalah jenama komersial di seluruh negara dan juga luar negara. Dari segi geografinya, Kawasan MPKj disempadani Kuala Lumpur yang merupakan pusat perdagangan Malaysia dan Putrajaya yang merupakan pusat pentadbiran negara. Selain itu, MPKj dikelilingi oleh 3 Negeri  di semenanjung iaitu Pahang Darul Makmur, Wilayah Persekutuan  dan Negeri Sembilan Darul Khusus. Kawasan MPKj juga beruntung kerana di dalamnya terdapat pelbagai Institut Pengajian Tinggi yang menjadikannya berpotensi tinggi  sebagai Bandar Keilmuan yang memberi manfaat kepada warganya.