MENU

AKTA KERAJAAN TEMPATAN 1976 (Akta 171)
Akta ini digubal bertujuan untuk memperincikan mengenai penubuhan, peranan, perjalanan dan kuasa berhubung dengan kerajaan tempatan seperti yang telah diperuntukan oleh undang-undang. Ia berfungsi sebagai akta penting bagi pembentukan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Perbandaran Kajang. Ia mengawal segala urusan dan perjalanan pentadbiran Majlis, menentukan mengenai bidang kuasa dan tindakan penguatkuasaan, menggubal undang-undang kecil, menjelaskan mengenai punca-punca hasil dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan Pihak Berkuasa Tempatan. Ia bagi menjamin dan memastikan kehidupan masyarakat setempat berada dalam keadaan yang kondusif.

AKTA JALAN, PARIT & BANGUNAN 1974 (Akta 133)
Akta ini digubal bertujuan untuk mengawal aktiviti dan projek pembangunan di dalam kawasan pentadbiran Majlis terutama berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan jalan, parit dan bangunan. Penyediaan dan pembinaan jalan , parit dan bangunan serta kerja-kerja tanah perlu mematuhi piawaian kelulusan dan garis panduan yang telah ditetapkan bagi memastikan keselesaan orang ramai.

AKTA PERANCANGAN BANDAR & DESA 1976 (Akta 172)
Akta ini digubal bertujuan untuk memastikan perancangan dan projek pembangunan yang dijalankan di kawasan pentadbiran Majlis berada di dalam keadaan teratur dan tersusun mengikut zon dan kriteria yang telah ditentukan. Ini penting supaya pembangunan yang dirancang bersesuaian dengan kondisi setempat serta seiring dengan peredaran kemajuan semasa.

AKTA BANGUNAN DAN HARTA BERSAMA (PENYENGGARAAN DAN PENGURUSAN) 2007 (AKTA 663)
Akta ini digubal untuk melancarkan dan memperkemaskan hal-hal yang berkaitan urusan penyenggaraan dan pengurusan bangunan dan harta bersama dengan sempurna. Ia memperincikan kuasa dan tanggungjawab pihak-pihak dalam mengendalikan perjalanan dan urusan bagi memastikan pengurusan dan penyenggaraan dapat dilaksana secara teratur dan berkesan.

AKTA HAKMILIK STRATA 1985
Akta ini digubal untuk memudahkan pecah bahagian bangunan kepada petak-petak dan pelupusan hakmilik-hakmilik berdaftar. Ia bagi memastikan keseragaman undang-undang dan dasar berkenaan pemegangan petak-petak dalam bangunan, pendaftaran hakmilik yang berhubungan dengan petak-petak dalam bangunan, pemindahmilikan petak-petak dalam dalam bangunan, pajakan-pajakan dan gadaian berkenaan petak-petak dalam bangunan serta hak dan kepentingan petak dalam bangunan.

AKTA PENGURUSAN STRATA 2013
Akta ini digubal untuk mengawal selia penyengaraan dan pengurusan bangunan bertingkat atau tanah yang dipecah bahagi dan dikeluarkan hakmilik strata, bermula dari peringkat penyerahan milikan kosong sehingga ke peringkat selepas perbadanan pengurusan diwujudkan.