MENU

Sempena Cuti Sekolah Pertengahan Tahun 2016 iaitu pada 28 Mei 2016 (Sabtu)  Majlis Perbandaran Kajang telah mengadakan satu program riadah khusus untuk remaja kelas menengah ‘Eksplorasi Remaja Ke Desa 2016’ di Kolam Pancing Tasik Semata Indah, Kg Kuala Pajam Beranang dan Kem PLKN Millennium.

Seramai 30 peserta remaja terdiri daripada Zon MPP 2, Zon MPP 15, Zon MPP 19, wakil peserta remaja dari pejabat Penyelaras Dun Semenyih, peserta remaja daripada  pejabat JMB Apartment Taman Impian Ehsan dan anak kakitangan Hospital Kajang telah menyertai program sehari anjuran Majlis Perbandaran Kajang dengan kerjasama  Pejabat Penyelaras Dun Semenyih dan Lembaga Zakat Selangor Cawangan Kajang.

Tujuan program ini dianjurkan adalah untuk memberi pendedahan aktiviti riadah dan kecergasan luaran (‘out-door activities’) kepada remaja yang berusia 13 tahun hingga 17 tahun sebagai golongan sasaran program. Selain itu, dengan adanya slot pengisian kerohanian dan motivasi secara kaunseling dan terapi minda dapat membantu remaja mengatasi masalah pergolakan emosi dan kemurungan.

Acara pagi dimulakan dengan aktiviti senaman pemanasan dan regangan badan. Selepas itu, remaja-remaja tersebut berjalan kaki beramai-ramai ke Kem PLKN Millennium Beranang untuk melakukan aktiviti Sukan Berhalangan. Peserta remaja tersebut akan diuji ketahanan fizikal oleh  Jurulatih-jurulatih PLKN Millennium bagi menguatkan otot-otot tangan dan kaki. Program diteruskan dengan aktiviti Memancing Udang Galah selama satu jam di mana peserta remaja dikehendaki memancing seberapa banyak udang galah dan terberat serta diumumkan sebagai Juara Memancing Udang Galah di Kolam Pancing Tasik Semata Indah. Manfaat daripada aktiviti memancing adalah remaja dapat mempelajari teknik kemahiran memancing udang dan menguji kesabaran.

Aktiviti seterusnya disusuli dengan slot ‘Ice-Breaking’ Emosi Warna Dan Lukisan para remaja mempelajari kemahiran dan penghayatan seni lukisan dan asas warna. Slot Minda POSITIF adalah merupakan sesi ceramah kerohanian yang ditaja oleh Lembaga Zakat Selangor Cawangan Kajang yang menerapkan elemen motivasi “BIG WHY” dimana kita dapat menyelami luahan hati remaja supaya masyarakat lebih peka tahap perkembangan emosi dan minda anak-anak tersebut.

Pada sebelah petang para remaja diajar teknik mempertahankan diri iaitu dinamakan ‘SURVIVOR DEFENSE’ oleh Master Chin daripada TYC Taekwando. Asas pelajaran mempertahankan diri ini digunakan oleh anggota Penguatkuasa MPKj, oleh itu para remaja dapat mengetahui cara-cara pertahanan daripada Pihak Berkuasa Tempatan – MPKj. Di akhir program peserta remaja berkesempatan untuk mempersembahkan nyayian secara karaoke dan sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Majlis Zon MPP 19 Puan Hajah Zainun Binti Haji Samah dan Datuk Penghulu Mukim Beranang.

Semoga program Eksplorasi ini dapat memberi manfaat dan semangat baru kepada remaja untuk mengekal gaya hidup sihat dan berkualiti.

pic