MENU

Penganjuran program Karnival Mini Mega Sales Smart Selangor 2016 (Karnival Mega Sales #SmartSelangor)  yang berlangsung selama 3 hari pada 30 September 2016 hingga 2 Oktober 2016 di Dataran TESCO Semenyih telah memberi galakan kepada golongan usahawan terutama 90 usahawan Uptown D’Pelangi Semenyih , 125 usahawan Car Boot Sale Taman Pelangi Semenyih, 7 usahawan Foodtruck  dan 2 gerai usahawan IKS Malaysia. Karnival Mini Mega Sales Smart Selangor 2016 ini dianjurkan oleh  Majlis Perbandaran Kajang(MPKj), Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dengan kerjasama oleh TESCO Semenyih, Ahli Majlis MPKj MPP Zon 18, Ahli Parlimen Hulu Langat dan Persatuan Penduduk Taman Pelangi Semenyih.  Program Karnival #SmartSelangor ini juga mendapat sokongan oleh Adun Kajang, Adun Bangi, Adun Balakong, Pusat Wanita Berdaya (PWB), Tourism Selangor dan Konsortium ABASS Sdn Bhd .

Pelbagai program keusahawanan seperti ‘Selangor Social Media Retail Transformation Entrepreneurship Program (Smart)’ sedikit sebanyak dapat membantu memberi  input peranan Media Sosial iaitu Facebook dan Instagram kepada usahawan terhadap perkembangan bidang keusahawanan. Selain itu slot taklimat dan kaunter khidmat pelanggan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut diadakan bagi memudahkan proses Pendaftaran Perniagaan. Kaunter khidmat pelanggan SSM telah mendapat perhatian dan ramai usahawan telah pun berjaya mendaftar perniagaan mereka. Pihak Majlis Perbandaran Kajang melalui Jabatan Pelesenan Dan Penjaja juga mengadakan sesi penerangan kepada usahawan untuk permohonan lesen perniagaan di premis PBT-MPKj. Dengan cara ini akan membuka ruang dan minat kepada usahawan bagi memajukan diri. Selain itu kaunter Hijrah Selangor Cawangan Kajang dan Hulu Langat turut dibuka bagi kemudahan kepada bakal usahawan dan usahawan untuk memohon pinjaman mikro-kredit Usahawan Selangor. Dengan mendapat bimbingan yang kerap melalui usaha Kerajaan Negeri Selangor akan membentuk keyakinan diri dan kejayaan kepada usahawan di Selangor. Pada program tersebut,  Y.B Tuan Haji Dr Yaakob Bin Sapari selaku Penolong EXCO Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan Dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor diiringi oleh Tuan Hamidi A. Hasan Pegawai Penyelaras Dun N24 Semenyih, Y.B Tuan Dr Che Rosli Bin Che Mat  Ahli Parlimen Hulu Langat dan Encik Rajendra Kumar A/L Munusamy Ahli Majlis MPKj Zon MPP 18 turut bersama-sama menyampaikan Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) kepada usahawan berjaya.

Karnival Mega Sales #SmartSelangor 2016 ini juga turut diserikan Bengkel Pengenalan Asas Vokal 2016 bersama Selebriti Roy dan Pertandingan Nyanyian Etnik Kreatif 2016 selama 2 hari ( Sabtu & Ahad) iaitu peringkat saringan dan akhir dengan penyertaan seramai 40 orang.  Seramai 60 orang peserta dan peminat muzik menyertai Bengkel Pengenalan Asas Vokal Bersama Selebriti Roy yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Kebudayaan UKM. Sambutan daripada peserta kursus amat menggalakkan dengan adanya penyertaan daripada anak-anak istimewa PDK Kajang dan diharapkan dapat diteruskan di masa hadapan. Jualan produk IKS seperti Bilal,produk kitar semula seperti jualan ‘handbag’ daripada Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia, produk jualan minuman dan makanan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dun Kajang dan Bangi dan Syarikat Kagumas Katering telah mendapat perhatian daripada pengunjung penduduk setempat.

Terdapat juga aktiviti yang berjaya menarik golongan kanak-kanak, remaja dan masyarakat yang telah diaturkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor melalui Pertandingan Mewarna, Tricky Puzzle, Play Doh, Persembahan Tarian Tadika Strawberry Wonderland Kajang, Senamrobik dan Zumba. Acara karnival pada sebelah malam diserikan oleh Persembahan Nyanyian Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Semenyih. Karnival Mini Mega Sales Smart Selangor 2016 pada hari terakhir 2hb Oktober 2016 telah menyaksikan satu Majlis  Perasmian Car Boot Sale (CBS) Persatuan Penduduk Taman Pelangi Semenyih yang dirasmikan oleh Y.B Tuan Haji Dr Yaakob Bin Sapari, Penolong EXCO Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan Dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pelesenan & Penjaja MPKj , Encik Kamaruzaman Bin Salimin, Encik Rajendra Kumar A/L Munusamy Ahli Majlis MPKj Zon MPP 18, Encik Mohd Faudy Bin Mohd Juki mewakili Pegawai Penyelaras Dun N24 Semenyih serta Pengurus Besar Tesco Semenyih Encik Vishnu Varthana A/L Subramaniam. Penganjuran karnival ini yang julung kali diadakan di Semenyih telah memberi impak positif kepada usahawan dan pengunjung yang terdiri daripada taman-taman perumahan dan penduduk kampung di Semenyih. Semoga program sebegini dapat meningkatkan pasaran jualan dan kuasa membeli secara berhemah daripada golongan usahawan dan pengguna.

mega_sales