MENU

Majlis Perbandaran Kajang telah melancarkan Buku Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Banteras Rasuah 2021 pada 25 Mei 2021 secara dalam talian oleh Tuan Mohd Raiz Bin Radzuan A.M.S selaku Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang.

MPKj sentiasa menyokong seruan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan Negeri Selangor dikenali sebagai negeri yang berintegriti dan bebas rasuah. Pelan CRM MPKj yang telah dibangunkan secara kolektif ini perlu dilaksanakan dengan teguh, nekad dan azam yang tinggi bagi melahirkan warga kerja MPKj yang berintegriti dan bebas daripada pengaruh rasuah yang boleh mencemarkan imej MPKj di mata masyarakat.

Agenda pengukuhan integriti sentiasa menjadi fokus utama bagi menjadikan MPKj salah satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dikenali melalui tahap ketelusan yang tinggi dan bukannya kerana rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Bagi memastikan hasrat tersebut tercapai, pelbagai usaha giat dilaksanakan dalam menerapkan serta mengukuhkan nilai-nilai integriti menerusi program-program yang dianjurkan oleh Unit Integriti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di MPKj. Oleh itu, antara salah satu usaha MPKj untuk membanteras rasuah adalah dengan wujudnya Buku Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) MPKj.

Semoga Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) MPKj ini dapat dijadikan sebagai salah satu garis panduan dalam melaksanakan agenda integriti MPKj. Adalah diharapkan agar semua warga kerja MPKj dapat memahami, menghayati dan menghindari diri daripada perbuatan yang bertentangan dengan kelakuan penjawat awam.