26 Mei 2025 / Isnin, Tuan Nazli Bin Md Taib SMS, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah melancarkan Program Town – Q di Menara MPKj.
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah melancarkan inisiatif digital terbaharu yang dikenali sebagai "Town – Q" pada 26 Mei 2025. Inisiatif ini menggunakan Kod QR sebagai medium untuk mengumpul maklum balas daripada penduduk berkaitan mutu perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan pentadbiran MPKj.
Maklum balas yang dikumpulkan sepanjang tempoh kaji selidik ini akan membantu MPKj dalam beberapa aspek utama:
- Mengenal pasti kelemahan perkhidmatan, khususnya dalam aspek pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal, serta membantu menambah baik sistem penyampaian secara holistik dan berterusan.
- Memantau prestasi kerja kontraktor dengan lebih berkesan, sekali gus memastikan tahap perkhidmatan yang konsisten dan berkualiti.
- Mengambil tindakan penambahbaikan yang bersesuaian, bagi menjamin persekitaran yang lebih bersih, selamat dan lestari.
Inisiatif Town – Q bukan sahaja memperkukuh saluran komunikasi antara MPKj dan penduduk, malah mencerminkan semangat keterbukaan dan keterlibatan rakyat dalam proses tadbir urus tempatan yang lebih telus dan bertanggungjawab. MPKj berharap agar inisiatif ini mendapat sambutan positif daripada penduduk dan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat setempat
Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan
Majlis Perbandaran Kajang