Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 digubal dengan objektif untuk mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan untuk memberi peluang kepada setiap individu untuk mengakses maklumat yang dibuat oleh Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri melalui permohonan yang dikemukakan kepada Jabatan yang berkenaan. Enakmen ini telah diwartakan pada 25 Ogos 2011 dan berkuatkuasa mulai 5 Mac 2013 sebagaimana perkenan DYMM Sultan Selangor. Turut berkuatkuasa pada tarikh yang sama ialah dua (2) undang-undang subsidiari yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi menyokong peruntukan-peruntukan Enakmen ini, iaitu Peraturan-Peraturan Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) (Akses Kepada Maklumat) 2012 dan Kaedah-Kaedah Badan Maklumat Negeri (Negeri Selangor) 2012.