SELAYANG, 14 Oktober 2026 - Unit Integriti dan Transparensi, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengadakan Lawatan Penandaarasan ke Unit Integriti, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 14 Oktober 2026 bagi mendapatkan perkongsian pengetahuan, pengalaman serta amalan terbaik dalam memperkukuh pengurusan dan pelaksanaan fungsi integriti organisasi.
Delegasi MPKj diketuai oleh Puan Nur Asmalaila binti Amlan, Ketua Unit Integriti dan Transparensi, manakala sesi perkongsian dikendalikan oleh Encik Rozaihan bin Ramli, Ketua Unit Integriti MPS.
Lawatan ini memberi tumpuan khusus kepada proses pembaharuan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), merangkumi pendekatan penyediaan pelan, kaedah mengenal pasti risiko rasuah, perancangan strategi serta pelaksanaan inisiatif antirasuah yang bersesuaian dengan keperluan semasa organisasi.
Selain itu, lawatan ini turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pertukaran pandangan antara kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya dalam usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan OACP serta membudayakan amalan integriti dan ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan.
MPKj merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak MPS atas kesudian menerima kunjungan serta memberikan kerjasama dalam menjayakan lawatan penandaarasan ini.
Unit Integriti dan Transparensi
Majlis Perbandaran Kajang





