KUALA LUMPUR, 12 FEBRUARI 2026 - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menerima sijil pengiktirafan Bandar Rendah Karbon 2025 bagi kawasan Pusat Bandar Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dan Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih pada Khamis bertempat di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Majlis telah disempurnakan dan anugerah telah disampaikan oleh YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) diiringi YBrs. Puan Shareen Shariza binti Dato’ Abdul Ghani, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau atau ‘Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation’ (MGTC).
Puan Hajah Sazzelina binti Ismail, Timbalan Pengarah, Jabatan Perancangan Pembangunan (JPP) MPKj (mewakili Yang Dipertua MPKj) dan Encik Azril Sham bin Mohamed, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching hadir menerima anugerah tersebut yang turut dihadiri oleh Puan Nurshazwani binti Mohd Osman, Penolong Pengarah, JPP MPKj.
Pusat Bandar Seksyen 9, Bandar Baru Bangi telah menerima anugerah 5 Berlian (5 Diamond) bagi kategori Zon Rendah Karbon dan Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih telah menerima anugerah 2 Berlian (2 Diamond) bagi kategori Rakan Kongsi Rendah Karbon.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah pada Majlis ini. Semoga usaha kecil ini dapat menjadi suntikan semangat kepada lebih ramai rakan kongsi di kawasan pentadbiran MPKj untuk turut serta melaksanakan program mengurangkan pelepasan karbon demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih sihat dan tiada pencemaran.
#MPKj #bandarrendahkarbon #nres #mgtc #anugerahberlian #diamondaward #bandarberdayahunimenjanaekonominegara
Jabatan Perancangan Pembangunan
Majlis Perbandaran Kajang





