Bersempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Tahun 2026, Unit Integriti dan Transparensi (UIT) telah mengadakan Pelancaran Buku Kod Etika Kerja dan Tatakelakuan MPKj semasa Majlis Perhimpunan Pagi MPKj Bil. 5/2026.
Buku Kod Etika Kerja dan Tatakelakuan MPKj merupakan dokumen panduan yang menggariskan nilai, etika, tatakelakuan serta standard tindakan yang perlu dipatuhi dan dibudayakan oleh seluruh warga kerja MPKj. Penerbitan buku ini bertujuan memperkukuh pembudayaan integriti, meningkatkan tahap profesionalisme serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkesan dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Nazli bin Md Taib, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, bersama-sama Tuan Mohd Fareez bin Mohd Ariss @ Mohd Hatta, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, serta diiringi oleh Puan Zalinda binti Zainudin, Penolong Setiausaha Majlis Perbandaran Kajang dan Puan Nur Asmalaila binti Amlan, Ketua Unit, Unit Integriti dan Transparensi Majlis Perbandaran Kajang.
Pelancaran ini menjadi simbol komitmen pihak pengurusan tertinggi MPKj dalam memperkasakan amalan integriti serta memperkukuh pematuhan terhadap etika kerja dan tatakelakuan dalam kalangan warga organisasi. Melalui pelancaran buku ini, seluruh warga kerja MPKj digalakkan untuk memahami, menghayati dan mengamalkan nilai serta prinsip yang digariskan sebagai asas dalam pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Diharapkan penerbitan buku ini bukan sahaja menjadi panduan rasmi kepada seluruh warga kerja MPKj, malah dapat membentuk persekitaran kerja yang lebih beretika, beramanah dan profesional demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta keyakinan masyarakat terhadap MPKj.
Unit Integriti dan Transparensi
Majlis Perbandaran Kajang




