Tarikh: 20 Mac 2025
Lokasi: Bazar Ramadan, Taman Pelangi Semenyih
Anjuran Bersama: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) & Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat (PKDHL)
Dalam usaha memastikan keselamatan makanan dan kebersihan gerai sempena bulan Ramadan, satu Operasi Bersepadu Pemeriksaan Kebersihan Bazar Ramadan telah dijalankan pada 20 Mac 2025 bertempat di Taman Pelangi Semenyih. Operasi ini melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MPKj dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat (PKDHL). Sebanyak 28 orang anggota MPKj dan 12 orang anggota PKDHL telah terlibat dalam operasi ini. Anggota ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kebersihan gerai, pematuhan kepada peraturan pengendalian makanan dan tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan pengendali bazar. Pemeriksaan keseluruhan mendapati keadaan kebersihan di Bazar Ramadan Taman Pelangi Semenyih adalah memuaskan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengendali makanan yang tidak mempunyai suntikan tifoid, dan tindakan kompaun telah dikenakan terhadap mereka. Selain itu, wakil premis tetap telah diberi teguran melalui Notis Arahan Kebersihan dan Kesihatan, dengan peringatan agar sentiasa menjaga kebersihan gerai dan mematuhi syarat-syarat sebagai pengendali makanan.
Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan
Majlis Perbandaran Kajang